Tiada sorakan penyokong Kelantan FC dan Kelantan United di stadium?

KUALA LUMPUR: Ketika majoriti penyokong sudah mula dapat bersorak dan menyaksikan perlawanan di stadium, namun penyokong pasukan Kelantan FC dan Kelantan United masih lagi terpaksa menonton pasukan mereka beraksi secara digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan mendedahkan Stadium Sultan Muhammad IV masih lagi ‘ditutup’ kepada penyokong pasukan itu susulan ketetapan daripada kerajaan negeri memandangkan kes COVID-19 di ibu negeri itu masih berada pada tahap yang membimbangkan.

“Memang ada stadium yang tidak dibenarkan lagi untuk kehadiran penyokong dan setakat ini adalah Stadium Sultan Muhammad IV kerana prosedur operasi standard (SOP) kerajaan negeri sendiri yang tidak membenarkan penyokong untuk masuk.

“Ia berikutan indeks pandemik di Kota Bahru dan sebab itulah kerajaan negeri mengambil keputusan sedemikian. Kita menghormati keputusan itu dan pasukan juga faham dengan keadaan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Sesi Mesra Media di Ibu Pejabat MFL di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Pada masa sama, Ghani menyifatkan semua pasukan berjaya mematuhi semua SOP yang ditetapkan selepas penyokong dibenarkan hadir ke venue perlawanan bermula minggu lalu namun mengingatkan supaya terus mengikuti ketetapan terbabit.

“Semua venue melakukan apa yang ditetapkan dengan baik namun masih ada sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Ia mungkin perkara yang tidak dapat dielakkan atau mungkin juga atas kelalaian.

“Tetapi SOP utama seperti kemasukan penyokong, imbasan MySejahtera, penjarakan sosial di dalam stadium serta aturan keluar dapat diikuti dengan baik. Jadi, saya harap ia dapat dikekalkan dan penyokong juga berdisiplin di mana jua venue perlawanan dilangsungkan,” katanya.

Antara perkara kecil yang masih berlaku adalah penyokong pergi ke tandas ketika waktu rehat, tiada mengamalkan penjarakan sosial semasa membeli makanan dan berebut rebut ketika mahu keluar dari stadium.

Justeru, Ghani menjelaskan perkara kecil terbabit sudah dimaklumkan kepada pasukan.

Sumber: BH