Tan Cheng Hoe masih diperlukan ?

PETALING JAYA: Prestasi Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tidaklah terlalu teruk dan beliau sepatutnya dibenarkan membimbing pasukan sehingga pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung tahun depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, Cheng Hoe hanya ‘gagal’ mencapai sasaran peribadi yang ditetapkannya sendiri iaitu mengumpul 15 hingga 16 mata dalam saingan Kumpulan G apabila menutup kempen dengan 12 mata.

Bagaimanapun, secara keseluruhan Malaysia berjaya meneruskan cabaran ke pusingan kelayakan Piala Asia 2023 selaku pasukan di tangga ketiga kumpulan, dan masih berpeluang untuk layak ke pusingan akhir buat kali pertama.

“Sasaran Cheng Hoe adalah untuk meraih 15 ke 16 mata. Kita dapat 12 mata, memang tak capai sasaran tapi tak terlalu buruk. Kita lebih fikir persediaan akan datang.

“Kita masih belum ada apa-apa perbincangan sebab saya fikir selepas ini, bila kita balik Kuala Lumpur nanti kita akan ada perbincangan yang menjurus kepada persiapan lebih komprehensif untuk pusingan ketiga kelayakan.

“Kita belum menyentuh lagi soal jurulatih tapi sudah tentu kita memang nak satu pasukan yang lebih baik untuk pusingan ketiga dan kita akan adakan perbincangan termasuk dengan jurulatih untuk persiapan pusingan kelayakan itu nanti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai masa depan Cheng Hoe bersama skuad Harimau Malaya, Yusoff berkata, pengurusan tertinggi FAM terutama Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mungkin akan mengadakan perbincangan mengenai semua perkara berkaitan skuad kebangsaan.

Persoalan mengenai masa depan Cheng Hoe timbul bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawar diri untuk diberi peranan dalam skuad kebangsaan bagi membantu meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu juga berkata, beliau akan menyediakan fasiliti dan jurulatih terbaik buat pasukan kebangsaan.

sumber : UM

Sementara itu, Cheng Hoe menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk memutuskan kedudukannya bersama skuad kebangsaan selepas ditanya mengenai kenyataan dari TMJ.

“Apa-apa keputusan saya tunggu pengurusan tertinggi FAM. Segala keputusan saya terima  tapi saya kita masih ada satu sasaran lagi iaitu kelayakan Piala Asia 2023 yang jadi sasaran utama pasukan kebangsaan,” katanya.