Sri Pahang menjadi Pengacau JDT

Sri Pahang FC boleh memegang watak sebagai pengacau atau pembantu kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut musim ini.

Ia susulan kebangkitan prestasi yang ditunjukkan skuad Tok Gajah terutama selepas membawa masuk tiga pemain import baharu dengan mereka belum tewas dalam tiga perlawanan terakhir.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa menganggap persembahan memberangsangkan anak buah Dollah Salleh itu sebagai isyarat kepada pasukan lain terutama yang sedang bersaing sengit merebut kejuaraan iaitu JDT, Terengganu FC (TFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Justeru, katanya, pasukan besar terutama JDT tidak boleh terlalu yakin boleh menjuarai liga dengan mudah kerana Pahang dan beberapa pasukan lain mungkin akan bangkit dari masalah prestasi selepas mengikat pemain baharu.

Ada lagi sembilan permainan, apa saja boleh berlaku. Pahang nampak ada perubahan dan rentak permainan JDT pun tak stabil juga, maksudnya pasukan lain boleh melawan mereka dan susah untuk JDT menang.

Kalau pasukan lain boleh mengekang JDT daripada meraih kemenangan, peluang merebut kejuaraan akan terbuka.

“Tapi pada masa sama, pencabar kejuaraan yang lain seperti TFC dan KDA mesti konsisten yang mana mereka tak boleh kalah dalam sembilan perlawanan terakhir,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh menyifatkan JDT akan kekal sebagai juara liga dan pasukan lain hanya boleh bersaing merebut gelaran naib juara.

Mengulas lanjut, Mohd Sadek menganggap kenyataan Serbegeth atau Shebby itu sebagai terlalu yakin dan JDT sebenar berdepan tugas sukar untuk mengekalkan kejuaraan.

Sebahagian besar pemain JDT adalah pemain kebangsaan. Jadi mereka mungkin kepenatan kerana selain terbabit dengan perlawanan antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya, mereka juga bakal mengharungi aksi ACL (Liga Juara-Juara Asia).

“Saya rasa JDT tahun ini tak boleh terlalu yakin, mereka ada beberapa pencabar. Malah, perbezaan mata mereka juga tidak jauh dengan pasukan lain dan jika seri dua kali, mereka sudah boleh dikejar pasukan lain,” katanya.