Sri Pahang FC boleh menarik nafas lega

Pemain tengah Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff teruja apabila pasukan itu tidak lagi berada di zon penyingkiran dalam saingan Liga Super.

Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata kejayaan itu hasil kerjasama daripada pengurusan kelab, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan untuk meletakkan Sri Pahang pada prestasi lebih mantap.

Sudah semestinya saya dan rakan sepasukan gembira kerana Sri Pahang berjaya beralih kedudukan lebih baik selepas mengharungi 13 perlawanan.

Berada di kedudukan kesembilan liga berbanding dua tangga tercorot sebelum ini amat melegakan kami, malah menyuntik semangat untuk memastikan Sri Pahang mencatat keputusan membanggakan pada setiap perlawanan sebaik liga bersambung nanti.

“Tempoh rehat dua bulan liga akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membentuk persefahaman dan keserasian terutama kehadiran empat import baharu,” katanya.

Ditanya prestasi semasa, Abdul Malik mengakui belum berada pada prestasi terbaik.

Katanya, tahap kecergasan belum mencapai 100 peratus kerana baru pulih daripada sakit.

“Saya harap tempoh rehat ni dapat meningkatkan tahap kecergasan dan membantu pasukan untuk memperbaiki kedudukan terbaik.

“Saya juga percaya kehadiran empat import iaitu Aung Kaung Mann, Manuel Hidalgo, Abubakar Yakubu dan Kenny Athiu menambah lagi kekuatan pasukan,” katanya yang menjaringkan satu gol setakat ini.