Skuad B-22 Dikejutkan Negeri Sembilan

Aksi bertenaga dan persembahan memberangsangkan belum memadai buat skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan untuk melakar kemenangan berdepan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila tunduk 1-2 pada aksi persahabatan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ia dilihat sebagai satu keputusan yang positif sebelum skuad bimbingan Brad Maloney itu berdepan ujian lebih getir menentang pasukan Liga Super iaitu Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas ini.

Pada aksi persahabatan di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya, USJ 5 , Subang Jaya di sini, 45 minit pertama permainan menjadi milik skuad kendalian Maloney apabila lebih menguasai kawalan bola serta berjaya mencipta beberapa percubaan berbahaya.

Keberanian ditampilkan pemain muda negara membuahkan hasil selepas berjaya mendahului perlawanan seawal minit ke-11 menerusi percubaan Azhad Harraz Arman yang gagal ditampan kemas penjaga gol Damien Chien.

Skuad B-22 kebangsaan berpeluang menambah beberapa jaringan dalam tempoh singkat, namun penyudah tumpul peny3rang T Saravanan pada minit ke-36 serta minit ke-40 dan Azhad Harraz pada minit ke-37 menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, NSFC akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-46 selepas Alain Akono memanfaatkan kesilapan penjaga gol gantian, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Kapten NSFC, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak turut terlepas beberapa peluang keemasan untuk meletakkan pasukan di hadapan, namun ia ditebus pemain tengah R Barathkumar pada minit ke-81 sekali gus menyelamatkan maruah pasukan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Maloney berkata pasukannya memang menjangkakan tentangan sengit berhadapan juara Liga Perdana tetapi tetap gembira kerana banyak faedah diperoleh daripada perlawanan itu.

“Saya rasa kami bermula dengan baik dan kami mengawal perlawanan awalnya, terutamanya di babak pertama. Berjaya mendapatkan satu gol, kami mencipta beberapa peluang tetapi berkurangan pada babak kedua,” katanya.

Skuad B-22 negara dijadual bertemu Penang FC pada Jumaat ini dan KDA FC, Isnin depan sebelum berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia B-23 2022 dari 25 hingga 31 Oktober ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J, akan bertemu Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

– BERNAMA