Safawi buat pengkritik ‘terdiam’

BINTANG Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid enggan menganggap dirinya sebagai pemain terbaik perlawanan meskipun muncul wira selepas me­nyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan Thailand 1-0 di Stadium Al Maktoum, Dubai awal pagi semalam.

Ia kemenangan sangat bermakna buat Harimau Malaya yang akhirnya berjaya menutup kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, sekali gus menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut di pentas antarabangsa.

Walaupun hanya sepakan pe­nalti, namun gol itu meredakan tekanan dan menutup mulut para pengkritik yang mempertikaikan kemampuan pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim itu dalam skuad kebangsaan.

“Bukan saya pemain terbaik perlawanan, tetapi semua pemain layak meraihnya. Ia bukan perlawanan mudah menentang Thailand, tetapi kami bagi komitmen terbaik dan memberikan segala-galanya untuk memastikan tiga mata dibawa pulang.

“Pujian dan penghormatan harus diberikan kepada semua pemain, ketua jurulatih, barisan kejurulatihan dan staf pasukan,” katanya.

Safawi, 24, yang dikritik hebat dalam dua perlawanan terdahulu, membuktikan dia masih relevan dalam skuad kebangsaan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 selepas dia dijatuhkan pertahanan Thailand, Ernesto Phumipha.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya menutup kempen Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tempat ketiga di belakang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

Ia sekali gus melayakkan Malaysia secara automatik ke pu­singan kelayakan ketiga Piala Asia 2023 bersaing dengan 24 pasukan bertanding untuk me­rebut 11 slot ke pusingan akhir nanti.

sumber : Kosmo

Sebanyak 13 pasukan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 termasuk tuan rumah, China, Jepun, Syria, Qatar, Korea Selatan, Australia, UAE, Iran, Arab Saudi, Vietnam, Lebanon, Oman dan Iraq.