Pasukan Liga Super Berminat Dapatkan Khidmat Irfan Bachdim

Pendatang baharu saingan Liga Super, pasukan Sabah dikhabarkan berminat untuk menandatangani peny3rang skuad kebangsaan Indonesia, Irfan Bachdim bagi memperkasakan pasukan menjelang saingan musim 2020.

Irfan menjadi buruan beberapa kelab Liga 1 Indonesia dan juga kelab dari luar negara setelah beliau hampir pasti dilepaskan oleh kelab beliau ketika ini, Bali United.

Antara kelab yang mahu mendapatkan khidmat Irfan ialah Persib Bandung yang dibimbing oleh Robert Alberts, Borneo FC yang pernah dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim, Mario Gomez serta pasukan Sabah yang melantik lagenda skuad Garuda, Kurniawan Dwi Yulianto sebagai ketua jurulatih.

Selain mempunyai pengalaman luas beraksi di Liga Indonesia, pemain berusia 31 tahun itu juga pernah menyarung jersi beberapa di Liga Jepun dan juga Liga Thailand.

Di Thailand, Irfan pernah beraksi bersama Chonburi FC serta kelab yang pernah diwakili peny3rang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi iaitu Nakhon Ratchasima FC.

Ketika di Liga Jepun, Irfan pernah beraksi bersama Hokkaido Consadole Sapporo, kelab yang ketika ini diperkuatkan oleh pemain Thailand, Chanathip Songkrasin.

Kehadiran Irfan dilihat mampu untuk memperkuatkan barisan serangan pasukan Sabah bagi memastikan mereka mengekalkan status Liga Super untuk satu lagi musim.