Memberi Kelebihan Kepada Harimau Malaya

Keberadaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Dubai bagi melakukan persiapan menjelang saingan musim baharu bukan sahaja menguntungkan juara enam kali Liga Super tersebut malah turut memberikan kelebihan kepada skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Skuad Harimau Selatan bimbingan Benjamin Mora telah mengharungi lima perlawanan di sana termasuk menentang dua kelab tempatan dan ianya berkesudahan dengan mencatatkan 3 kemenangan dan 2 kekalahan.

Seperti kita sedia maklum, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bakal terbang ke sana untuk menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi perlawanan ke-5 kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pemain-pemain seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, La’Vere Corbin-Ong, Farizal Marlias dan beberapa lagi yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan mendapat manfaat awal daripada latihan pramusim di Dubai pada ketika ini sebelum bertemu UAE di Stadium Al Maktoum, 26hb mac kelak.

Pastinya mereka dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di rantau timur tengah dengan awal. Tambahan pula, lima pasukan diharungi oleh JDT terdiri daripada pemain-pemain yang memiliki kebolehan teknikal dan kelebihan fizikal yang lebih baik sekaligus memaksa para pemain meningkatkan tahap permainan mereka.

Tonggak pertahanan Harimau Selatan dan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Razak turut meraih keyakinan tinggi untuk membantu skuad kebangsaan mendapatkan keputusan positif selepas turun beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan.

“Jika pasukan memberikan aksi yang terbaik secara berterusan, saya percaya tiada apa yang mustahil.

“Saya fikir kami mampu mencatatkan beberapa kemenangan dan mara lebih jauh. Bagi saya, saya berada dalam keadaan terbaik dan tidak mendapat sebarang kecederaan,” katanya seperti dipetik daripada New Straits Times.

Dan pertahanan senior berusia 32 tahun itu amat menghargai usaha yang dilakukan oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim membawa skuad JDT menjalani latihan pramusim di sana.

Dia kini tidak sabar menantikan saingan musim baharu Liga Malaysia 2020 serta kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2020 yang akan bermula masing-masing pada 12hb dan 28hb februari.

“Saya tidak mempunyai jangkaan yang tertentu pada musim ini. Saya hanya berikan yang terbaik kepada kelab.

“Kami melalui tempoh pramusim yang hebat dan terima kasih kepada bos kami (DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim),” tambahnya lagi.