Kuala Terengganu: AFFC terpaksa menunda saingan

Kuala Terengganu: Pasukan Armed Forces FC (AFFC) menyambut baik langkah Liga Bolasepak Amatur (AFL) menunda saingan Liga M3 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Liga M3 sepatutnya berlangsung pada 4 Jun depan, namun disebabkan tempoh PKP akan berakhir pada 7 Jun, kejohanan liga divisyen tiga itu dijangka bakal bermula pada Julai.

Penolong jurulatih AFFC, Mohamad Ishak Kunju Mohamad berkata, keselamatan pemain, barisan jurulatih serta pihak pengurusan termasuk penonton adalah lebih penting dan perlu diutamakan.

“Selain itu kita juga perlu patuhi arahan dan saranan daripada pihak kementerian kesihatan, jadi langkah AFL menangguhkan pertandingan itu adalah tepat.

“Selain itu ia memberi masa yang mencukupi buat pasukan untuk membuat persediaan yang rapi menjelang kejohanan itu nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan episod malang sebagaimana musim lalu kejohanan itu dibatalkan bersama saingan Piala Presiden, Piala Belia jika boleh dielakkan.

“Ini kerana saya berpandangan semua pasukan sudah bersedia membentuk pasukan, jadi harapan kami agar liga amatur tempatan itu tidak dibatalkan bagi memberi peluang kepada pemain beraksi sebagaimana Liga Super dan Liga Perdana,” katanya.

Semalam, Pengerusi AFL, Datuk Yusoff Mahadi berkata Liga M3 mungkin diadakan pada Julai, bagaimanapun beliau menjelaskan ia juga bergantung kepada situasi semasa PKP 3.0.

Beliau tidak menolak kemungkinan kejohanan yang bakal disertai 20 pasukan itu bakal dilangsungkan secara karnival jika PKP berlarutan hingga akhir musim. HM