KFA bukan cakap kosong

KEMENANGAN Kedah membabitkan kes Pusat Timbang Tara Asia (AIAC) ke atas bekas pemainnya, Akhyar Rashid yang ke Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bukan bercakap kosong.

Jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, perkara itu secara tidak langsung memberi suntikan kepada para pemain, para pegawai dan para penyokong Lang Merah untuk melipatgandakan usaha memperbaiki prestasi pasukan.

Menurutnya, biarpun kes tersebut menjadi tanda tanya terutamanya kepada penyokong Lang Merah kerana mengambil masa lama, namun akhirnya keputusan berkenaan membuktikan KFA berada pada pihak yang benar.

Menurutnya, biarpun kes tersebut menjadi tanda tanya terutamanya kepada penyokong Lang Merah kerana mengambil masa lama namun akhirnya keputusan berkenaan membuktikan KFA berada pada pihak yang benar.

“GULM mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga buat Presiden,Setiausaha Kehormat,dan barisan Pegawai KFA kerana telah berusaha sebaik mungkin dalam mencari kebenaran dan kemenangan dalam kes Akhyar Rashid. Dengan ini kita membuktikan kita berada di landasan yang betul.

“Mungkin kita kekurangan wang ringgit untuk segala aspek, tidak mempunyai stadium gah, tidak mempunyai meja yang mahal untuk ditepuk, hanya menyambut hari jadi para pemain, hanya mampu membuat kutipan derma untuk mencari cahaya di dalam kegelapan, tetapi kita menunjukkan sentiasa bercakap benar dan bukannya menegakkan benang yang basah,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar.

Media melaporkan Kedah menerima khabar gembira apabila AIAC memutuskan tuntutan pampasan melibatkan bekas pemainnya, Akhyar Rashid ke JDT awal tahun lalu memihak kepada skuad Lang Merah itu.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar berkata, berita berkenaan pastinya memberikan sedikit kelegaan kepada penyokong dan peminat Hijau Kuning yang menunggu keputusan berhubung tuntutan berkenaan sejak setahun lalu.

Bagaimanapun jelasnya, berita tersebut memberikan kegembiraan kerana pihaknya berada pihak yang benar namun ralat kerana jumlah pampasan yang ditawarkan tidak disertai bersama pampasan latihan (without training compensation).

Bagaimanapun, Mohd Asmirul tidak mendedahkan jumlah pampasan tersebut kerana ia masih dalam proses perundangan.

sumber: SH

Terdahulu, KFA telah mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk bola sepak negara itu yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan bagi mendapatkan khidmat Akhyar.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan Akhyar hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA.