“Kemenangan menjadi tumpuan Utama”

Kuala Lumpur: Hanya usaha meraih kemenangan menjadi tumpuan utama skuad kebangsaan pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula Jun ini.

Ketua pasukan Aidil Zafuan Abdul Radzak berkata fokus pasukan sentiasa tertumpu kepada baki tiga perlawanan menentang UAE, Vietnam dan Thailand dalam misi skuad Harimau Malaya membvru slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Dia berkata barisan pemain turut enggan memikirkan perkara-perkara yang di luar kawalan pasukan termasuk perkembangan penarikan diri Korea Utara daripada kempen kelayakan itu yang berkemungkinan mendatangkan kesan kepada pungutan mata dalam saingan kumpulan.

“Bagi saya mudah, kita pun belum tahu situasi apa yang bakal berlaku tetapi kami (pasukan) tidak mahu memikirkan mengenai penarikan diri Korea Utara, kami hanya memikirkan kemenangan. Apa sahaja jadi, kita perlu menang dan jika menang kita tidak akan menghadapi masalah.

“Fokus utama kami adalah mencari kemenangan dan meraih seberapa banyak mata yang boleh,” katanya pada sidang media kem latihan pusat skuad kebangsaan secara maya di sini hari ini.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam mengesahkan Persatuan Bola Sepak Korea Utara menarik diri daripada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dan akan merujuk perkara itu ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Akhbar tempatan melaporkan tindakan Korea Utara menarik diri itu bakal membawa kesan buruk kepada semua pasukan bertanding kerana kemungkinan keputusan aksi menentang pasukan tercorot kumpulan tidak akan dikira.

Sementara itu, Mohamad Aidil yang juga tunggak pertahanan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sedia digandingkan dengan mana-mana pemain di posisi pertahanan tengah skuad kebangsaan selepas ketiadaan Mohd Shahrul Mohd Saad akibat kecederaan.

Katanya, dia sudah mempunyai pengalaman beraksi bersama empat pemain pertahanan lain yang turut disenaraikan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe iaitu Adam Nor Azlin, Dominic Tan, Junior Eldstal dan Irfan Zakaria.

“Cuma dari segi taktikal, individu terpilih nanti kena faham apa taktikal yang jurulatih nak lakukan, itu lebih penting. Dari segi persefahaman bagi saya tidak ada masalah,” katanya.

Malaysia yang kini menduduki tempat kedua dengan mengumpul sembilan mata dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan itu akan meneruskan baki perlawanan bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun). HM