Kedah jadi juara Liga Super musim depan

KEDAH dan Selangor seharusnya mampu muncul juara Liga Super musim depan selepas berbelanja besar mendapatkan beberapa pemain berkualiti untuk beraksi bersama pasukan masing-masing.

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam masa sama menyifatkan Harimau Selatan yang juga juara Liga Super enam kali berturut-turut hanya akan hadir sebagai pasukan ‘underdog’ menyasarkan kedudukan empat terbaik dalam saingan liga.

“Saya tidak nampak mereka sebagai pencabar, tetapi sebagai juara kerana mereka dah melabur banyak sehingga RM30 juta. Mereka sepatutnya jadi juara.

“Kita pun tak ada duit nak melabur banyak macam tu dan boleh beli pemain dengan mudah. Kami hanya sasarkan berada di kedudukan empat terbaik sahaja,” katanya dalam sidang video melalui laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Sebelum ini, Kedah menunjukkan pasukan dari utara itu begitu bersemangat untuk menghadapi saingan liga musim depan apabila mendapatkan bekas peny3rang Import PKNS FC, Kpah Sherman dan bekas peny3rang Terengganu FC, Kipre Tchetche.

Manakala Selangor pula selepas mendapatkan bekas pemain tengah Perak, Brendan Gan dilaporkan bakal membawa masuk beberapa lagi pemain memiliki reputasi besar bagi memperkuatkan cabaran G3rgasi Merah itu.

Dalam pada itu, Tunku Ismail tidak menolak khabar angin yang menyatakan JDT bakal mendapatkan khidmat Liridon Krasniqi selepas bekas pemain Kedah dan Melaka United itu dilihat bersama kelab itu sesi latihan beberapa hari lalu.

“Liridon hadir ke latihan pasukan kerana kami ingin bantu dia dapatkan kecergasannya balik kerana dia akan menyarung jersi pasukan negara. Mungkin juga kami akan ambil dia untuk beraksi bersama JDT.

“Tetapi, selagi belum ada pengumuman rasmi daripada kelab, saya harap penyokong tidak akan percaya khabar angin,” katanya.

Tunku Ismail juga mengesahkan JDT tidak akan melakukan rombakan besar dalam Harimau Selatan itu bagi menghadapi saingan liga musim depan sebaliknya hanya akan membawa masuk dua atau tiga pemain untuk memperkuatkan kelab berkenaan.