ada menerima tawaran

Rekrut terbaharu Negeri Sembilan, Shahrom Kalam menyatakan biarpun akan ada empat pasukan berstatus ‘feeder club’ di Liga Premier pada musim hadapan, persaingan di sana, sebenarnya lebih sengit berbanding persaingan yang ada di Liga Super.

Pertahanan tengah berusia 35 tahun itu percaya setiap pasukan yang bersaing untuk tiket ke Liga Super miliki peluang yang sama dan setiap pasukan tidak boleh yakin yang mereka calon utama.

“Berdasarkan pengalaman saya, kita tidak boleh terlalu yakin akan layak ke Liga Super. Liga Premier adalah lebih susah daripada Liga Super. Ianya dari segi komitmen daripada setiap pasukan itu.

“Untuk Liga Super, semua pasukan akan lebih kepada taktikal dan kekuatan pemain-pemain itu sendiri tetapi di Liga Premier, sebagai contoh, saya perlu berlari tanpa henti. Kadang-kadang boleh jadi upset, di mana, pasukan di atas tidak boleh duduk senang,” ujar Shahrom Kalam ketika dihubungi oleh Semuanya BOLA.

Bekas kapten PKNS FC musim lalu itu mengakui ada menerima tawaran daripada beberapa pasukan lain, namun lebih tertarik untuk menyarung jersi Negeri Sembilan untuk musim 2020.

“Saya yang dapat tawaran daripada Negeri Sembilan,” tuturnya yang jelas bersyukur, kerana masih ada pasukan yang menagih kudratnya biarpun sudah boleh digelar sebagai pemain ‘otai’.

“Sebenarnya ada juga pasukan lain yang hubungi saya, tetapi saya lihat misi dan visi mereka kurang jelas. Tetapi, apabila pengurus Negeri Sembilan hubungi saya, penerangannya menarik minat saya,” tambahnya lagi sambil menyatakan yang Negeri Sembilan yakin dengan pengalamannya di Liga Premier sebelum ini.

Ketika ditanyakan mengenai persaingan bersama Norhafiz Zamani dan Matheus Vila untuk posisi pertahanan tengah, bekas tonggak skuad kebangsaan ini menjelaskan, ia satu cabaran buatnya.

sumber: semuanyabola

“Ia satu cabaran buat saya. Saya tidak akan pergi ke pasukan yang saya mudah untuk mendapat kesebelasan utama. Kita kena ada persaingan sihat. Angah [Norhafiz Zamani] juga tidak akan selesa. Persaingan itu perlu dan baik untuk pemain,” terangnya.

“Selain itu, dengan adanya saya dan juga Angah sebagai pemain berpengalaman, pemain-pemain muda akan dapat belajar serta dia juga akan bersaing untuk tempatnya. Jadi, dia akan cepat belajar,” jelasnya lagi dan menyatakan skuad Rusa sudah memiliki asas yang kuat dengan mengekalkan sebahagian besar skuad musim lalu.