impian itu telahpun menjadi kenyataan

Pemain import baru Selangor dari Singapura, Safuwan Baharudin mendedahkan bahawa menyarung jersi pasukan itu adalah menjadi impiannya sejak kecil.

Dia gembira impian itu telahpun menjadi kenyataan setelah dipancing skuad the red giants untuk melengkapkan kuota import ASEAN bagi saingan Liga Malaysia 2020.

“Selangor adalah antara pasukan paling berjaya pada tahun 90-an, ketika itu saya masih kecil dan membesar di zaman Selangor muncul kuasa besar bolasepak Malaysia, menjulang hatrik Piala Malaysia (1995, 96, 97).

“Saya selalu menyaksikan Selangor bermain, ketika itu ada Dollah Salleh, Azman Adnan dan ramai lagi. Mereka pasukan yang penuh dengan sejarah dan saya mahu membantu mereka kembali ke zaman kegemilangan itu,” kata Safuwan dipetik dari Stadium Astro.

Safuwan yang boleh bermain sebagai pertahanan dan pemain tengah pernah menjulang trofi Liga Super pada 2013 dan kemudiannya Piala FA pada 2015 ketika bersama Lions XII.

Dia berhijrah ke Pahang pada 2018 dan membantu skuad tok gajah memenangi Piala FA tahun tersebut dan dianggap salah seorang pemain Singapura paling berjaya di Liga Malaysia.

Safuwan bagaimanapun dilepaskan Pahangselepas berakhir musim 2019 meskipun masih mempunyai kontrak sehingga hujung 2020.