Fokus Piala Asia

PETALING JAYA: Tidak perlu menyalahkan sesiapa. Lebih baik fokus ke depan, cuba kalahkan Thailand dan melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Itu pesanan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang jelas kecewa dengan kekalahan 1-2 Malaysia kepada Vietnam, namun masih berusaha menaikkan semangat anak-anak buahnya menghadapi satu lagi aksi penting menentang Thailand, Rabu ini.

Biarpun peluang untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 sudah tertutup, namun kata Cheng Hoe perjuangan Harimau Malaya belum berakhir dan mereka perlu bangkit dalam aksi penutup minggu depan.

Selepas gagal ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022, fokus Harimau Malaya kini adalah mengalahkan Thailand, Rabu ini dan meraih tiket ke pusingan ketiga kelayakan ketiga Piala Asia 2023.

“Bola sepak adalah kerja berpasukan, saya tidak boleh menyalahkan seorang atau dua pemain kerana kami kalah perlawanan ini. Kami perlu tingkatkan persembahan dan mengekalkan kerjasama berpasukan.

“Pemain saya beraksi dengan baik dan kita perlu fokus kepada aksi berdepan Thailand. Ia juga bukan perlawanan yang mudah kerana mereka mempunyai rehat yang lebih baik daripada kami.

“Sebagai jurulatih saya perlu melakukan persiapan dan pemulihan untuk pemain bersedia dengan aksi seterusnya berdepan Thailand,” katanya hari ini.

Kekalahan 1-2 kepada Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai awal pagi tadi meletakkan Malaysia di tangga keempat Kumpulan G dengan berkongsi sembilan mata bersama Thailand.

Hanya tiga pasukan teratas setiap kumpulan layak secara untuk beraksi ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia yang bakal berlangsung di China.

Sepakan penalti kontroversi Que Ngoc Hai membolehkan skuad Naga Emas memperoleh gol kemenangan pada minit ke-83, namun Cheng Hoe enggan mengulas mengenai insiden itu, sebaliknya mahu pasukan fokus kepada persiapan menentang Thailand.

“Saya tidak nampak insiden itu (sepakan penalti yang diterima Vietnam) kerana ia berlaku dengan amat pantas. Pengadil sudah buat keputusan, saya tidak boleh ubah apa-apa.

“Selepas gagal untuk ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia, sekarang fokus kami adalah Piala Asia,” katanya.

sumber: Harian Metro

Nguyen Tien Linh meletakkan Vietnam di depan pada minit ke-27, namun Guilherme de Paula menyamakan kedudukan di minit ke-72 menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh pertahanan lawan.