Elak Pancing Pemain Import ‘Penumpang’

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Husin Deraman menegaskan bahawa skuad yang digelar ‘The Red Warrior’ itu hanya mengintai khidmat pemain import yang berkualiti untuk memperkuatkan pasukan.

Penelitian terhadap pemilihan pemain import berkualiti menjadi penekanan KAFA bagi mengelak pembaziran sekiranya mereka membawa masuk pemain import yang tidak mampu memberikan sumbangan berkesan.

“Kami bukan hanya nilai kepada rekod pemain itu sebelum ini, ada mereka berjaya di saingan liga di sesebuah negara, namun apabila mendapat tempat dalam pasukan kami, mereka menimbulkan masalah dengan prestasi tidak menentu.”

“Kami tidak mahu dapatkan pemain asing yang hanya menumpang kepada pemain tempatan, khidmat mereka dalam pasukan tidak membantu, malah mutu permainan pemain tempatan lebih baik,” ujar Husin kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, Husin turut mendedahkan empat pemain import yang kini dalam proses penilaian sudah menjalani latihan bersama pemain yang lain.

“Kesemua mereka sudah tiba di Kota Bharu dan menjalani latihan bersama pasukan sejak beberapa hari lalu sebelum dinilai oleh barisan kejurulatihan pasukan dan akan diuji dalam perlawanan itu.”

Pemain-pemain yang dimaksudkan terdiri daripada dua penyerang iaitu Odili Felix Chidi (Nigeria) dan Ghanefo Ansumana Agogo Kromah (Liberia).

Sementara itu dua lagi pemain adalah pemain tengah, Bektur Talgat Uulu (Kyrgyzstan) dan Eze Kingsley Obomneme yang merupakan pemain pertahanan dari Nigeria.