Dua misi penting Terengganu II

Kuala Terengganu: Selepas aksi menentang Kuching City FC (KCFC) dibatalkan Sabtu lalu berikutan pemain skuad The Cats itu positif C0v!d-19, pemain Terengganu FC II (TFC II) bagaikan tidak sabar untuk turun ke padang bertemu Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Hal ini diakui pengendalinya, Badrul Afzan Razali yang menyatakan anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan barisan pemain skuad kendalian K Devan itu.

Katanya, dua misi penting yang menjadi sasaran utama pasukan dalam perlawanan itu selepas lebih dua bulan tidak beraksi dalam saingan kompetitif kerana Liga Malaysia (Liga M) berehat.

“Pertama adalah untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga manakala yang kedua untuk memburu tiga mata bagi mengintai kelompok teratas liga.

“Bagi memastikan impian itu tercapai, persediaan kami tetap sama sebagaimana yang dirancang untuk bertemu KCFC dengan tiga tonggak import iaitu p3ny3rang, Jordan Mintah, Argzim Redzovic (pertahanan) dan pemain tengah, Masaki Watanabe menjadi nadi penting pasukan selain pemain tempatan,” katanya kepada Sukan NSTP hari ini.

Mengulas lanjut, Badrul meletakkan harapan yang tinggi agar ‘ayam tambatannya’ Jordan Mintah mampu menemui sentuhan pemusnah bagi memastikan tiga mata menjadi milik pasukannya.

“Kita harapkan Mintah dapat beraksi dengan baik dan seterusnya mampu menjaringkan gol biarpun saya jangkakan penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini dengan 11 gol itu pasti akan dikawal ketat pertahanan lawan,” katanya.

Berdasarkan rekod pusingan pertama, TFC yang kini menghuni di tangga ketiga dan Negeri Sembilan kedua masing-masing mempunyai kekuatan yang seimbang selepas terikat 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Mac lalu.