Zainal berpuas hati walaupun tewas

Melaka: Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan tetap memberi pujian kepada pemainnya yang beraksi dengan begitu gigih walaupun akhirnya tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Baginya, itulah bola sepak kesilapan yang berlaku pada minit pertama menyebabkan lawan menghasilkan jaringan menerusi sepakan penalti yang memisahkan usaha Melaka untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata.

Apapun, keputusan pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada (JDT) ketika aksi baru bermula turut menerbitkan rasa tidak puas hati peminat.

Penalti terbabit dihadiahkan selepas pemain pertahanan, Akmal Zahir didakwa mengasari Gonzalo Cabrera dalam kotak penalti yang kemudiannya disempurnakan Bergson da Silva untuk gol tunggal perlawanan.

Zainal berkata, keputusan sepakan penalti menimbulkan tanda tanya bagaimanapun dia akan meneliti semula rakaman sebelum berbincang dengan pengurusan tindakan selanjutnya sambil tidak membuat sebarang tudvhan melvlu.

“Bagi saya inilah bola sepak dalam 90 minit perlawanan berlalu kita melepaskan gol 30 saat memberi sepakan penalti yang menjadi tanda soal di situ.

“Sama ada penalti atau tidak, saya kena buat kajian lagi dan melihat dahulu walaupun kesilapan dikatakan datang daripada pemain saya. Justeru, kita perlu lihat secara keseluruhan sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, pujian perlu diberikan kepada pemain selepas jaringan terbabit kerana mereka menunjukkan permainan begitu bersemangat dan tidak mengenal erti letih walaupun berdepan jadual yang padat.

sumber:HM

Justeru, dia berharap pemain akan bangkit semula untuk aksi seterusnya kerana setiap perlawanan amat penting untuk mengelak keciciran sebarang mata.