Yakin Skuad KDA FC bakal menyerlah

ALOR SETAR: Ketua pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar yakin gandingan pemain lama dan baharu mampu memperkuatkan lagi skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

“Masih awal hendak beri komen kerana kami baru 10 hari menjalani latihan bersama. Jadi keserasian itu masih dicari tetapi kami akan tetap beri yang terbaik untuk saingan 2021 dan mengharapkan sesuatu yang positif untuk skuad Hijau Kuning.

“Saya juga berharap pemain lama yang kembali dengan pasukan Kedah dapat mempamerkan prestasi cemerlang untuk membantu pasukan bermain dengan lebih baik,” katanya ketika ditanya mengenai keserasian antara pemain dalam pasukan Kedah bagi saingan musim ini.

Baddrol ditemui selepas diumumkan sebagai Ikon Kempen Pembudayaan Norma Baharu Kedah pada perhimpunan pagi penjawat awam di Wisma Darul Aman di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebelum ini, KDA FC menerusi akaun rasmi Facebook miliknya melaporkan Aidil Sharin Sahak kekal membimbing skuad Hijau Kuning musim depan. Turut dikekalkan beberapa pemain seperti Rizal Ghazali, Shahril Sa’ari, Faizat Ghazli, Zulkhairi Zulkepli, Azammuddin Akil dan Baddrol.

Selain itu, tiga pemain import iaitu Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Renan Alves.