Waspada dengan pasukan yang mampu mencipta kejutan !!

KUALA LUMPUR: Waspada dengan pasukan yang mampu mencipta kejutan!

Ketika ramai yang melihat beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) sebagai pasukan pilihan untuk menggondol Piala Malaysia, namun ada beberapa pasukan yang boleh dianggap sebagai ‘kuda hitam’.

Walaupun mereka dianggap tidak sekuat pasukan pilihan, mereka memiliki ‘senjata’ tersendiri sehingga disifatkan mampu mencipta kejutan dalam saingan Piala Malaysia pada musim ini

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah melihat tiga pasukan iaitu Penang FC, KL City FC dan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) sebagai antara pasukan yang perlu diberi perhatian dan sama sekali tidak boleh dipandang enteng dalam kancah berprestij itu.

Beliau yang pernah memenangi ‘double treble’ bersama Kedah, berkata tidak mustahil sekiranya tiga pasukan itu mampu melangkah lebih jauh sehingga ke separuh akhir pada edisi kali ini.

“Penang FC memperagakan persembahan yang konsisten dalam liga selain adunan pemain import mereka sangat berkesan. Tidak hairanlah mereka dapat menamatkan Liga Super di tempat ketiga.

“Begitu juga dengan KL City FC yang melakar rekod tanpa kalah di laman sendiri. Itu satu pencapaian yang baik dan mereka ada beberapa pemain menyerlah seperti Romel Morales dan Paulo Josue.

“Barisan simpanan mereka pun tidak kurang hebatnya, dibarisi pemain berpengalaman yang pasti akan membantu KL City FC setiap kali diturunkan.

“NSFC sebagai juara Liga Perdana pun ada kelebihan tersendiri dan pasti boleh berbuat sesuatu. Saya lihat tiga pasukan ini mampu ke suku akhir ataupun mungkin juga sampai ke separuh akhir,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Harimau Kumbang dan skuad The Cityboys diundi dalam Kumpulan A bersama Sri Pahang dan naib juara Liga Perdana, Sarawak United.

Sementara skuad Hobin Jang Hobin pula diundi dalam Kumpulan C bersama dua pasukan Liga Super termasuk Kedah (naib juara), Melaka United dan pasukan Liga Perdana, Kelantan United.
-BH