Wan Zaharulnizam dan Nazrin Nawi sah perkuat Kelantan

Nampaknya saingan sengit Liga Malaysia bukan hanya tertumpu kepada Liga Super sahaja, tetapi juga Liga Premier.

Dengan misi menuju ke Liga Super 2021, banyak pasukan yang akan beraksi di Liga Premier pada musim hadapan mula mempersiap dan memperkuat pasukan masing-masing bagi memastikan mereka dapat merebut slot ke liga utama Malaysia.

Antara yang sudah tentu mahu kembali ke Liga Super adalah pasukan Kelantan yang pernah bergelar juara dahulu. Meletakkan azam untuk menaikkan semula nama The Red Warriors, pasukan dari Pantai Timur itu telah memperkuat pasukan dengan dua pemain yang cukup terkenal.

Pasukan Kelantan telah mengumumkan bahawa dua pemain baru telah menyertai sesi latihan mereka bermula semalam. Bekas pemain sayap Melaka United, Mohamad Nazrin Nawi dan bekas pemain Kelantan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dilihat mula turun berlatih bersama pasukan.

Kehadiran dua pemain berpengalaman ini pastinya akan membantu Kelantan untuk kembali ke Liga Super selepas tersingkir ke Liga Premier pada tahun 2018. Wan Zaharulnizam mengikut jejak langkah Faridzuean Kamarudin yang kembali ke Kelantan selepas semusim bersama Kuala Lumpur pada musim lalu.

Pada musim lalu, skuad kendalian Yusri Che Lah berada di tangga ke-10 Liga Premier, terselamat daripada penyingkiran kerana penarikan diri pasukan Perlis di awal musim. Mereka sekadar memungut 17 mata hasil daripada empat kemenangan, lapan seri dan lapan kekalahan dalam 20 perlawanan.