Wan Karpet tarik perhatian” Kedah semakin harmoni

Alor Setar: Pemain sayap berpengalaman Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syazwan Zainon menganggap suasana harmoni dalam skuad Hijau Kuning menjadi pemangkin lonjakan prestasinya pada aksi Piala Malaysia musim ini.

Sumbangan dua gol pemain yang mesra disapa Wan Karpet sewaktu membenam Kelantan United FC (KUFC) 3-0 di Stadium Darul Aman semalam membolehkan KDA FC selesa mendahului Kumpulan C.

“Keharmonian dalam pasukan membuatkan saya lebih seronok nak bermain, memang down kalau kita tak ‘perform’, tapi dengan adanya pemain yang banyak beri sokongan, barisan kejurulatihan bagus, dan semua staf, jadi perkara ini buat kita boleh bangun kembali mendapatkan prestasi yang baik.

“Bagi saya, boleh tengok pemain semua ‘happy’ dan kita tak fikir benda luar, dan apa yang penting kita cuba selesaikan kerja kita di dalam padang.

“Saya bersyukur ini satu permulaan yang baik untuk pasukan Kedah, dan ini semua hasil gerakan daripada rakan sepasukan sekali gus membantu mencapai kemenangan,” katanya.

Syazwan berkata, setiap kemenangan diraih Kedah bukan disebabkan individu sebaliknya kerja keras dan gigih oleh semua pemain yang sama-sama berganding bahu memberi sumbangan buat kejayaan pasukan.

“Saya secara individu tak ada sasaran tertentu, kerana bagi saya yang penting adalah mencipta kemenangan buat pasukan dan boleh layak ke final kerana itulah sasaran pasukan.

“Mengenai prestasi diri saya, saya nak cakap pun tak pasti kerana prestasi saya pun kadang-kadang macam yoyo tapi mudah-mudahan saya boleh buat yang terbaik lagi untuk perlawanan akan datang,” katanya.
-arena metro