Wajar Diberikan Peluang Tampil Dalam Kesebelasan Utama

Terengganu berjaya merekodkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini dimana mereka menundukkan pasukan Kedah dengan keputusan 4-3. Peny3rang import, Dominique Da Sylva menjadi wira apabila beliau menjaringkan empat gol sekaligus menghadiahkan tiga mata pertama untuk skuad bimbingan Nafuzi Zain.

Empat gol yang dijaringkan oleh Dominique lantas membuatkan beliau menerima pujian daripada ramai pihak khususnya peminat setia Terengganu. Namun, seorang lagi pemain iaitu Azalinullah Alias juga layak untuk menerima pujian kerana kemasukan beliau pada separuh masa kedua berjaya mengubah corak permainan Terengganu.

Apabila dimasukkan bagi menggantikan Nasir Basharudin pada separuh masa kedua, Azali dilihat lebih berani untuk terlibat dalam build up play berbanding Nasir dan beliau berjaya mengawal bahagian tengah dengan baik.

Selain itu, pemain berusia 23 tahun ini juga berjaya menjadi “penghubung” antara barisan pertahanan dan barisan tengah sekaligus memberikan lebih banyak ruang kepada Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov untuk membantu jentera serangan.

Melihat kepada persembahan yang ditampilkan Azalinullah pada Sabtu lalu, Nafuzi Zain wajar untuk memberikan beliau peluang bagi membarisi kesebelasan utama dan mengisi bahagian tengah bersama Tuck dan Sanjar. Bahagian tengah Terengganu dilihat lebih stabil dan lebih baik apabila diisi oleh ketiga-tiga pemain ini.