Vincent Tan Nafi

Tan Sri Vincent Tan mengakui tidak bercadang untuk mengambil alih mana-mana pasukan Liga Malaysia dalam masa terdekat.

Ini selepas timbul spekulasi bahawa beliau akan mengambil alih pasukan Kuala Lumpur, setelah semua pasukan perlu melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan dari FA ke FC sebelum 30 Sept.

Walaupun sudah memiliki dua kelab bolasepak di luar negara iaitu Cardiff City dan KV Kortrijk, beliau menganggap ia bukan waktu yang sesuai untuk mengambil alih sebuah lagi pasukan bolasepak.

“Perniagaan bola sepak sekarang bukan senang,” katanya kepada Sinar Harian.

“Semua rugi sahaja. Kena fikir masak-masak. Buat sementara ini, belum ada lagi.

“Tapi saya ada terfikir juga. Mungkin dalam dua tiga tahun lagi, siapa tahu. Kemungkinan itu selalu ada tetapi itu kemungkinan sajalah, belum tentu beli.”

Kata-kata Vincent mungkin merujuk kepada situasi wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada industri bolasepak, dengan ada liga yang terpaksa ditangguhkan dan dibatalkan.

Malah, semua pasukan bolasepak di dunia kehilangan pendapatan daripada jualan tiket perlawanan, yang selama ini menjadi sumber kewangan utama untuk sesebuah pasukan.