[VIDEO] Luqman Hakim jaringkan gol di Eropah!

Tidak sampai sebulan berhijrah ke KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin sudah mula menunjukkan mengapa beliau seorang pemain yang berbakat.

Selepas tiba di Belgium dan menjalani kuarantin selama 14 hari, pemain berusia 18 tahun itu menyertai skuad Bawah-21 KV Kortrijk.

Luqman kemudian tersenarai dalam kesebelasan utama menentang KRC Gent.

Ketika pemain pertahanan Gent cuba untuk membuat hantaran pendek dalam kawasan kotak penalti, Luqman mengambil kesempatan tersebut apabila merampas bola itu dan merembat terus ke gawang gol.

Kualiti video gol Luqman mungkin kurang memuaskan, jadi anda memerlukan penglihatan yang tajam untuk menyaksikan gol itu.

Gol itu seolah-olah satu pengumuman daripada Luqman bahawa dia bukan sekadar pemain kroni semata-mata, tetapi sememangnya merupakan seorang pemain yang berbakat.

Walaupun pasukannya tewas 4-1, ia satu permulaan baik buat Luqman dalam misi meningkatkan semula kecergasan dan ketajaman permainan sekali gus merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan senior KV Kortrijk.