Usah Gadai Maruah

Usah gadai maruah negara. Demikian peringatan yang dilontarkan bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, yang menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar menyelidik sedalam-dalamnya mengenai latar belakang Marcel Kalonda bagi dijadikan sebagai pemain warisan negara.

Pemain Zesco United dalam kancah di Republik Congo itu mengakui bahawa dia mempunyai pertalian menerusi bapa dan datuknya dengan negara, sekali gus layak memperkuatkan skuad Malaysia.

Dia seperti mahu menjadikan pelantar ini sebagai publisiti buatnya untuk mewar-warkan bahawa dia seorang pemain bagus.

Perkara ini perlu dipantau, jangan gadaikan maruah negara tentang perkara ini, katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully, juga berharap FAM lebih berwaspada dalam mengenal pasti pemain warisan.

Dia perlu membuktikan kesahihan dokumentasinya, tidak ada pintu belakang.

Ini maruah negara, jangan main-main dengan perkara ini. 

Walaupun dia memenuhi syarat yang dikehendaki, tetapi FAM juga perlu pastikan adakah profilnya sesuai untuk mengisi posisi yang diperlukan, katanya pula. 

Setakat ini, terdapat enam pemain yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia berminat untuk mewakili skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu termasuk pemain muda berusia 17 tahun, Kobe Chong, yang berdarah campuran Malaysia-Jamaica.