Undian Piala AFF Biasa Saja, Tiada Yang Istimewa – Park Hang-seo

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo menganggap undian peringkat kumpulan saingan Piala AFF Suzuki 2020 adalah satu perkara yang biasa dan tiada yang istimewa mengenainya.

Vietnam diundi dalam kumpulan B bersama Malaysia, Indonesia, Kemboja serta Laos dan Hang-seo menegaskan kekuatan pasukan lain dalam kumpulan B adalah sama dan beliau turut berkongsi sasaran pasukan bimbingannya dalam saingan edisi kali ini.

“Selain Brunei dan Timor Leste yang akan menghadapi saingan play-off, secara umumnya pasukan lain Asia Tenggara layak ke kejohanan ini dengan cara yang sama. Jadi bagi saya undian peringkat kumpulan adalah biasa sahaja. Tiada apa yang istimewa,” kata Park Hang-seo dipetik daripada lawan Persekutuan Bola Sepak Vietnam.

“Saya rasa pasukan yang berada dalam satu kumpulan bersama Vietnam adalah sama. Mereka adalah lawan yang sukar. Kami perlu memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Sasaran pertama ialah melepasi saingan peringkat kumpulan, kemudiannya melangkah ke separuh akhir dan peringkat akhir.

Vietnam akan menghadapi jadual padat sebelum beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki dimana mereka dijadualkan bertemu China dan Oman pada Oktober, Jepun dan Arab Saudi pada November dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

Skuad The Golden Dragons merupakan juara bertahan setelah menewaskan skuad Harimau Malaya pada perlawanan akhir edisi 2018 dengan keputusan 3-2 secara agregat.
-vocketFC