UiTM FC benam Kelantan

MANJUNG: UiTM FC mara ke suku akhir saingan Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan, 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), di sini, sebentar tadi.

UiTM FC menukar venue di Stadium MPM kerana arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Anak buah Frank Bernhardt membuka tirai jaringan menerusi tandukan Muhamad Arif Mohamed Anwar hasil sepakan lintang Rabih Ataya pada minit ke-12.

Tiga minit kemudian Muhamad Rafie Mat Yaacob mudah menyempurnakan hantaran leret Gustavo Almeida Dos Santos yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh.

Tersentak dengan gol itu, anak buah Yusri Che Lah memperkemaskan permainanan namun sepakan Nik Akif Syahiran Nik Mat tersasar ke kiri gawang tuan rumah pada minit ke-24.

Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni berpeluang menjaringkan gol buat The Red Warriors namun sepakan percuma diambilnya terkena tiang kiri gawang UiTM FC pada minit ke-32.

Pada babak kedua, kegembiraan skuad The Lion Troops tidak bertahan lama apabila Muhammad Danial Ashraf Abdullah menjaringkan gol pertama Kelantan hasil hantaran Nik Akif Syahiran pada minit ke-61.

Dua minit kemudian, Muhammad Danial Ashraf sekali lagi mencetak nama selaku penjaring yang menghadiahkan gol kedua buat Kelantan.

UiTM FC bagaikan terus mendapat tonik apabila Muhamad Arif sekali lagi menjaringkan gol buat pasukan melalui sepakan gunting hasil hantaran Rabih Ayata pada minit ke-67.

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol namun gagal menemui penyudah dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan tersingkir dari saingan Piala Malaysia musim ini.

Pada aksi suku akhir nanti UiTM FC akan bertemu juara Liga Perdana, Pulau Pinang.