Tunjukkan Bukti !

Susulan amaran daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada tiga pasukan iaitu Melaka United, PDRM dan Kelantan agar menyelesaikan tunggakan gaji selewat-lewatnya pada 31 Januari ini atau akan dikenakan hukvman pemot0ngan mata, sudah ada perkembangan positif berkaitan isu tersebut.

Melaka United difahamkan sudahpun memulakan proses pembayaran meskipun pada satu ketika mereka antara yang banyak bunyi dan beralasan, manakala Kelantan dan PDRM pula melaungkan janji bahawa semuanya akan selesai menjelang tarikh akhir yang ditetapkan.

Di pihak FAM, apa yang mereka harapkan menjelang tarikh 31 Januari adalah kalaupun tunggakan gaji tidak selesai sepenuhnya, setidak-tidaknya sudah ada solusi dicapai bersama pemain atau jurulatih yang terbabit dan pembayaran sudah mula dibuat walaupun secara ansuran.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam bagaimanapun tidak mahu sekadar berpegang kepada apa yang dikemaskini di media sosial rasmi atau janji yang dilaungkan oleh Persatuan Bolasepak Melaka United, Persatuan Bolasepak Kelantan dan PDRM, sebaliknya mahu mereka menunjukkan bukti bayaran ataupun bukti mengenai perjanjian yang telah dipersetujui bersama pemain-pemain mengenai cara pembayaran tunggakan.

“Ketiga-tiga pasukan itu sudah mula bertindak dan mengambil langkah wajar untuk selesaikan mas@lah, secara tidak rasmi kami telah menerima laporan pergerakan tersebut yang menunjukkan perkembangan positif. Tetapi saya akan menunggu bukti-bukti pembayaran dan perbincangan yang lebih formal untuk memastikan saya mengeluarkan komen yang lebih teliti dan tepat,” kata Stuart.

Langkah diambil FAM ini menunjukkan betapa mereka cukup serius mahu membendung masalah tunggakan gaji daripada berulang dan mencalar kredibiliti serta imej Liga Malaysia. Sejak beberapa musim lalu, ada sahaja pasukan-pasukan dibelenggu masalah kewangan serius yang membawa kepada kes tunggakan gaji dan pada akhirnya menyebabkan operasi pasukan-pasukan itu terpaksa ditutup.

Lebih malang, pemain dan pegawai pasukan yang menjadi mangsa gagal mendapat hak mereka – contohnya seperti Hanelang FC, Terengganu City FC, Kuantan FA, Marcerra United dan musim lalu ianya Perlis.

Sebagai rekod, Melaka United difahamkan berhutang dua ke tiga bulan gaji bagi musim 2019 manakala Kelantan pula lagi teruk menanggung tunggakan gaji sejak beberapa musim lalu yang masih belum selesai, manakala PDRM pula tunggakan empat bulan gaji bagi musim 2019.