“Tunggu dua hingga tiga hari lagi. ”

Dua bekas pemain Melaka United, Raimi Mohd Nor dan Shukor Adan menggesa Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) untuk segera menyelesaikan tunggakan gaji mereka.

Raimi dan Shukor yang masing-masing dilepaskan oleh Melaka mengakui sehingga saat ini, MUSA masih lagi berdolak-dalih untuk menyelesaikan tunggakan gaji selama dua bulan.

Menurut Raimi, perkara ini sudah dibawa ke kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya pelik apabila pengurusan boleh membayar pemain yang masih bermain untuk mereka tetapi menolak kebajikan kami (bekas pemain). Kami sudah membuat laporan kepada PFAM dan mempunyai dokumen lengkap berkaitan masalah ini,” kata Raimi menurut laporan Harian Metro.

Shukor Adan pula mengambil pendekatan dengan memberi tempoh kepada bekas majikannya itu untuk segera menyelesaikan tunggakan gajinya.

“Tunggu dua hingga tiga hari lagi. Saya berharap Melaka menunaikan janji mereka untuk membayar tunggakan gaji saya. Pada masa sama, saya juga ada menghantar surat kepada mereka dan berharap ada tindakan susulan nanti.

“Jangan nafikan kebajikan pemain yang sudah digugurkan dan berharap perkara ini diselesaikan secara baik dan adil,” kata Shukor.

Bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain untuk musim 2019, Presiden MUSA, Damien Yeo telah melancarkan tabung bagi mengutip derma dan juga sumbangan daripada peminat.