Transfermarkt meletakkan ‘tanda harga’ buat Luqman

KUALA LUMPUR: Nilai pasaran peny3rang muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin dijangka meningkat jika dia berupaya mempamerkan persembahan terbaik sepanjang bersama pasukan baharunya, KV Kortrijk.

Malah, tidak mustahil pemain kelahiran Kota Bharu itu boleh menyaingi atau mengatasi tanda harga yang diletakkan ke atas pemain muda kebangsaan bernilai tinggi seperti Safawi Rasid, Syahmi Safari dan Akhyar Rashid.

Ketika ini Safawi dianggap pemain muda negara paling mahal dengan Transfermarkt meletakkan nilai pasarannya 300,000 Euro (RM1.48 juta) manakala Syahmi (RM1.35 juta) dan Akhyar (RM740,487).

BH Sukan, kelmarin melaporkan Transfermarkt meletakkan ‘tanda harga’ kira-kira RM247,000 buat Luqman selepas dia sah menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab Belgium itu.

Ketua Pegawai Operasi Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar berkata terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi naik turun nilai pasaran seseorang pemain seperti Luqman termasuk prestasi, usia, tempoh kontrak dan faktor liga tempat mereka beraksi.

Bagaimanapun, katanya, nilai Luqman juga boleh jatuh sekiranya dia tidak berjaya mempamerkan persembahan terbaik atau gagal mendapat peluang beraksi bersama pasukan utama.

“Penampilan pemain perlu konsisten bersama pasukan. Persembahan dan prestasi atau statistik pemain juga diambil kira seperti jumlah gol, hantaran, bantuan kepada jaringan dan juga kepentingan pemain berkenaan kepada pasukan.

“Nilai pasaran yang dibuat oleh Transfermarkt akan melihat tahap sumbangan pemain kepada pasukan yang mana penilaiannya berbeza berdasarkan posisi sama ada peny3rang, pemain tengah dan pertahanan.

“Nilai komersil dan status ikonik juga memainkan peranan dalam penentuan harga pasaran pemain. Jika Luqman dapat beberapa tajaan peribadi, nilai pasaran dia secara tak langsung meningkat.

sumber: BH

“Setiap pemain juga akan melalui proses susut nilai yang mana semakin meningkat usia mereka, lebih banyak nilai akan kurang. Namun, jika mereka berada pada prestasi yang baik walaupun umur meningkat, susut nilai tidak banyak berubah,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Bukan saja bersama kelab, nilai pasaran pemain turut dipengaruhi prestasi mereka di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan dan tidak hairanlah mengapa Safawi dinilai dengan harga yang tinggi.