Tolong kami…

Pemain Kedah berharap kehadiran Menteri Besar baharu, Muhammad Sanusi Md Nor dapat memberi sinar Aidilfitri buat mereka selepas terpaksa ‘mengikat perut’ susulan berdepan tunggakan gaji tiga bulan.

Menurut seorang pemain Kedah yang enggan namanya didedahkan, pertukaran kerajaan negeri yang berlaku semalam menimbulkan persoalan terhadap status tunggakan gaji mereka, namun dia mengharapkan barisan baharu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang dijangka diterajui Sanusi tidak akan lepas tangan mengenai isu terbabit.

Justeru, katanya besarlah harapan pemain sekiranya tunggakan gaji dapat diselesaikan secepat mungkin, apatah lagi sambutan Aidilfitri akan menjelang kurang seminggu lagi.

“Isu politik ini memang membuatkan kami tertanya-tanya mengenai tunggakan tetapi dengan perkembangan terbaharu hari ini (semalam), kami sedikit lega dan harap ia dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.

“Semoga kepimpinan baharu ini mampu melihat dan menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji yang kami hadapi sejak Februari lalu dengan efektif sekali gus mengelak imej KFA daripada terjejas.

“Meskipun berhadapan isu gaji tertunggak ini memang memeritkan semua pemain lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri minggu depan, kami tetap berfikiran positif yang segala masalah ini akan dapat diselesaikan selepas ini.” katanya.

Sebagai rekod, pemain skuad Lang Merah dijanjikan semua tunggakan gaji akan diselesaikan sebelum Aidilfitri namun selepas berlakunya perubahan tampuk kepimpinan, mungkin ia boleh dianggap sebagai janji hanya tinggal janji.

Terdahulu, krisis politik Kedah berakhir semalam apabila Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14 selepas Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sudah memperkenankan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Meskipun Menteri Besar tidak automatik memegang jawatan Presiden KFA, namun seperti kelazimannya, Presiden KFA adalah Menteri Besar memandangkan beliau memiliki ‘kuasa’ untuk mencari dana bagi menguruskan pasukan.