Tolak tawaran kelab lain, teruja untuk menyarung jersi TFC

KUALA TERENGGANU: Pertahanan import baharu Terengganu FC (TFC), Carli De Murga mendedahkan dia terpaksa menolak tawaran daripada beberapa kelab lain kerana begitu teruja untuk menyarung jersi skuad Penyu.

Pemain naturalisasi pasukan kebangsaan Filipina yang berdarah kacukan Sepanyol itu yang sudah berada di sini, sejak beberapa hari lalu bagaimanapun enggan terburu-buru meletakkan sasaran bersama pasukan baharunya itu.

Selain tahun pertamanya bersama skuad Penyu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), pemain berusia 32 tahun itu yang memulakan kariernya bersama kelab La Liga Sepanyol, Cadiz CF memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan TFC biarpun pernah menentang kelab dan pasukan kebangsaan Malaysia sebelum ini.

Namun bekas pemain kelab Chonburi FC itu mengakui akui cabaran dalam Liga M pastinya sengit seperti Liga Thailand.

“Sebelum bersetuju beraksi dalam Liga M, saya ada menerima beberapa lagi tawaran daripada kelab lain di Thailand, tapi saya memilih ke Terengganu kerana teringin untuk beraksi di sini kerana yakin TFC juga sebuah pasukan yang kuat dan mencabar di Malaysia.

“Saya sedia menyahut cabaran itu tapi tidak mahu meletakkan sebarang sasaran awal kerana bagi saya yang penting perlu memperagakan aksi terbaik pada setiap perlawanan walau posisi mana diletakkan,” katanya selepas sesi latihan di Gong Badak dekat sini.

Ketika ditanya barisan pemain yang ada dalam skuad TFC, pemain berketinggian 1.80 meter yang mula bersama skuad kebangsaan Filipina pada 2011, mengakui kagum dengan barisan skuad Nafuzi Zain itu.

Kehadiran De Murga yang bakal bergandingan dengan seorang lagi bintang import baharu, Christopher Herd yang pernah beraksi bersama kelab Aston Villa pasti menambah kekentalan benteng pertahanan pasukan itu yang turut bersaing dalam kancah Piala AFC musim ini.