TMJ Mengucapkan Tahniah Kepada T-Team (Terengganu 2)

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan kelab akan melepaskan Safawi Rasid untuk beraksi di saingan Liga Portugal selepas Liga Malaysia tamat.

Baru-baru ini, JDT mengumumkan mereka menerima tawaran dari kelab Portugal, Portimonense SC dimana kelab itu berminat untuk mendapatkan pemain sayap, Safawi Rasid.

Pengarah Sukan kelab, Martin Prest berkata tawaran tersebut merupakan satu perkara yang baik bagi Safawi sendiri dan juga kelab.

Namun, juara bertahan Liga Super itu tidak boleh mendedahkan butiran lanjut kerana perbincangan masih dijalankan.

Mengulas lanjut, TMJ menegaskan kelab hanya akan melepaskan Safawi ke Portugal selepas saingan Liga Malaysia melabuhkan tirainya.

TMJ turut mengucapkan tahniah kepada T-Team (sekarang Terengganu 2) kerana telah mengketengahkan bakat Safawi pada 2016 lalu.

Jika segalanya berjalan dengan lancar, Safawi akan mengikut jejak langkah Luqman Hakim yang kini turut beraksi di Eropah dimana beliau menyarung jersi kelab Belgium, KV Kortrijk.