TMJ Menempelak Pasukan Menggunakan Alasan

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim men3mpelak pasukan yang cuba untuk melakukan pemotongan gaji pemain dengan menggunakan alasan ketiadaan pendapatan gara-gara wabak C0VID-19, meskipun masih belum melunaskan tunggakan gaji pemain.

Menerusi catatannya pemilik JDT itu di laman rasmi Johor Southern Tigers, TMJ menegaskan pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang perlu melunaskan hutang dengan pemain terlebih dahulu sebelum mengenakan pemotongan gaji pemain.

“Kebanyakan pemain dalam negara bersedia untuk memberi kerjasama dengan kelab atau pasukan mereka berkaitan pemotongan gaji disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Tetapi sebelum pasukan memotong gaji tersebut, pastikan bahawa kelab atau pasukan yang berhutang dengan pemain menyelesaikan hutang tersebut dengan pemain terlebih dahulu.

“Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan Covid-19 untuk membuat pemotongan gaji. Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.

TMJ juga menganggap pasukan yang bergantung kepada dana kerajaan negeri tetapi ada masalah hutang adalah sebuah pasukan yang tidak bertanggungjawab.

“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama, malah semua pemain bersedia untuk bekerjasama tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan Covid-19 untuk memotong gaji mereka.

“Kebanyakan pasukan bergantung 100% peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin pasukan-pasukan ini masih tidak membayar gaji.

“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri.”