TMJ jawab spekulasi Dion Cools

Walaupun khabar angin tersebar mengatakan pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools akan sertai JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikannya.

Bagi TMJ, Dion masih terlalu awal untuk beraksi dengan JDT dan beliau masih menimba pengalaman di Eropah.

“Saya rasa dia masih muda dan mahu bermain di tahap tertinggi. Saya setuju dan saya pun sokong dia bermain di peringkat tertinggi supaya satu hari nanti sekiranya dia nak main dengan Malaysia sangat dialukan,” katanya kepada Sinar.

“Buat masa sekarang dia bermain dengan pasukan muda Belgium dan kita tahu Belgium ini main di Piala Dunia. Selain itu, dia juga bermain di kelab bereputasi besar.

“Satu hari nanti, jika dia nak balik ke sini dan ingin bermain di sini, JDT adalah tempat yang sesuai untuknya.”

Dion Cools sudah berada dalam radar FAM sejak beberapa tahun lalu namun beliau masih mempunyai peluang untuk mewakili Belgium yang kini menduduki ranking nombor satu dunia.