TMJ gesa 4 pasukan bayar hutang

KUALA LUMPUR: Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa pasukan yang berhutang supaya melangsaikan tunggakan terlebih dahulu sebelum mula memikirkan mengenai pemotongan gaji pemain.

Menerusi laman sosial Johor Southern Tigers, Tunku Ismail menegaskan pandemik COVID-19 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk pasukan tidak menunaikan tanggungjawab mereka ketika pemain sentiasa memberi kerjasama membabitkan isu itu.

Menurut Tunku Ismail, beberapa pasukan juga mendapat sokongan bantuan kerajaan negeri, jadi mereka seharusnya tidak berdepan sebarang masalah membayar gaji pemain.

“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama malah semua pemain bersedia bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan COVID-19 untuk memotong gaji mereka.

“Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan COVID-19 untuk membuat pemotongan gaji.

“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.

“Kebanyakan pasukan bergantung 100 peratus peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin pasukan-pasukan ini masih tidak membayar gaji.

“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri,” kata Tunku Ismail.