TMJ Bersuara

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim enggan menyalahkan pemain dan jurulatih susulan keputusan seri 1-1 yang dicatat mereka ketika bertemu FELDA United, semalam.

Malah, Tunku Ismail mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku kepada JDT selepas menetapkan standard yang terlalu tinggi buat Harimau Selatan apabila memenangi 15 trofi dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau menganggap, keadaan itu sekali gus menjadikan penyokong meletakkan harapan yang sangat tinggi ke atas bahu skuad Harimau Selatan.

“Penyokong kami menganggap keputusan seri sebagai kekalahan, manakala kekalahan pula diibarat sebagai trag3di. Tapi kita harus menerima hakikat bahawa ada pasang surut dalam kehidupan.

“Kita juga harus memahami bahawa pemain bukanlah mesin. Kita harus menghargai dan menilai apa yang mereka lakukan, kerana mereka sudah memberikan kita banyak kejayaan.

“Sebagai contoh, kita sudah memenangi tiga trofi tahun lalu dan memenangi Piala Sumbangsih pada permulaan musim ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Selain itu, Tunku Ismail juga tidak menafikan pemain JDT tampak keletihan susulan jadual yang padat terpaksa diharungi.

“Kita mempunyai lebih perlawanan berbanding pasukan lain kerana kita juga beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC. Saya tetap yakin mereka semua akan bangkit.

“Saya sentiasa di belakang pemain, jurulatih dan kakitangan saya setiap masa. Sama ada kami menang atau kalah, saya sentiasa bersama mereka.

“Saya sentiasa menyokong mereka dan mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap apa yang berlaku, baik dari segi persembahan atau yang lain-lain di JDT,” katanya.