Tindakan tegas akan di kenakan kepada jurulatih

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan tidak menolak dakwaan berlakunya gejala menggunakan lesen jurulatih yang bertauliah untuk kepentingan individu tertentu.

Menurut beliau, pihaknya memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas ahli PJBM sekiranya ada yang didapati terbabit dengan gejala berkenaan.

“Jika memang sah ada jurulatih yang pinjamkan lesen tapi tak bekerja langsung sama ada dengan kelab, persatuan atau pasukan, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau yang juga bekas jurulatih skuad kebangsaan berkata, setiap kelab atau pasukan seharusnya mengikuti peraturan yang sudah ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Apa yang Datuk Jamal katakan memang benar. Saya sokong, itu yang kita cuba nasihatkan semua ahli kita, tapi siapa yang buat tawaran juga salah. Mungkin kelab nak jimatkan kos atau bagi kawan-kawan mahu jadi jurulatih, tapi tak ada lesen.

“Memang ada (berlaku), kita pun sudah berbincang dengan MFL dan FAM. Ada juga seorang (jurulatih) yang dari Liga M3 iaitu ahli kita yang baru hubungi saya.

“Dia kata ada pasukan yang nak dia jadi ketua jurulatih, tapi tanggungjawab itu diberikan kepada pembantu jurulatih. Dia tak terima dan dia lapor kepada saya, saya kata bagus itu (jurulatih) yang ada prinsip,” katanya.

Ujar, Sathianathan gejala berkenaan memberi kesan buruk kepada ekosistem kejurulatihan dan merosakkan ‘periuk nasi’ jurulatih yang jujur serta bertauliah selepas membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan lesen.

“Kalau buat diploma kejurulatihan sudah RM60,000 perlu dibelanjakan. Selepas susah payah keluarkan RM60,000, tapi tak ada kerja pula sebab pasukan hanya nak pinjam lesen sahaja.

“Pinjam lesen dia (pasukan) bayar RM2,000 atau RM3,000 sebulan, selepas itu dia ambil seorang jurulatih lain dengan bayaran RM10,000 untuk kendalikan pasukan. Kalau dia ambil jurulatih (taraf) diploma, dia kena bayar gaji RM25,000 ke RM30,000,” katanya.

Semalam bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail mendedahkan ada individu menggunakan nama jurulatih yang bertauliah didaftar sebagai jurulatih pasukan, sedangkan individu berkenaan tidak memiliki lesen kejurulatihan.

Katanya, episod lakonan di bola sepak tempatan itu sudah lama berlaku namun ia seolah tidak pernah diberi perhatian oleh pihak bertanggungjawab.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan namun menyarankan agar MFL melihat semula perkara berkenaan.

sumber : arena metro

“Sudah tentu bagi kita ada garis panduan dengan jurulatih setiap pasukan harus mempunyai lesen dan MFL perlu melihat peraturan yang dikeluarkan oleh mereka ini,” katanya.