Tindakan Itu Tidak Menyalahi Mana-Mana Undang-Undang

KUALA LUMPUR: “Adakah bila saya sudah terbujur kaku ditutupi kain putih, baru anda nak datang jumpa saya bantu? Tidak mengapalah, lupakanlah, benda itu sudah terlambat.”

Itu antara luahan yang dilontarkan bekas peny3rang kebangsaan, Khalid Jamlus apabila berkongsi situasi sukar yang sedang dihadapinya ketika ini sehingga memaksa dia melepaskan koleksi berharganya dalam karier bola sepak sehingga mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Jelas bekas peny3rang Perak itu, dia menegaskan tidak ada salahnya dia mengambil langkah terbabit memandangkan keputusan itu dirasakan bersesuaian dan berlandaskan kehidupan yang sedang dilaluinya ketika ini.

“Semuanya pasal duit. Saya buat ikut perasaan saya dan kata saya tidak mahu berjalan seorang dan saya langgar. Jadi, saya jual barang yang ada nilai sentimental, barang yang cukup saya sayang dan semuanya hasil usaha saya.

“Sebenarnya sampai satu masa, sesuatu yang kita cukup sayang dan jaga tetapi kalau terpaksa dilepaskan dengan alasan munasabah, saya lepaskan. Saya maklumkan kepada mereka (pembida) supaya jagalah ia sebaik mungkin seperti mana saya jaga.

“Kehidupan saya mungkin berbeza dengan kehidupan legenda lain di luar sana. Tetapi apa yang saya buat, saya mahu bagi platform kepada legenda di luar sana kalau ada masalah yang lebih kurang sama dengan saya, buat apa yang saya buat.

“Tidak salah pun dan tiada orang marah. Saya jual pun, semua hak milik saya dan bukan saya jual barang orang lain. Saya rasa tindakan itu tidak menyalahi mana-mana undang-undang.

“Saya berfikir bahawa saya perlu memandang ke hadapan. (Apa yang dilakukan) bukan boleh bertahan dua tiga tahun jadi setakat mana pun, saya perlu hadaplah. Ketika itu (lelongan), saya tak maklumkan yang saya perlukan bantuan. Saya tidak mengharapkan simpati pun,” katanya menerusi temuramah bersama sebuah stesen televisyen, malam tadi.

Dalam masa sama, penjaring terbanyak saingan Liga Perdana 1 musim 2002 itu turut menjelaskan dia sudah mencuba sedaya upaya kesukaran terus menghimpit apatah lagi selepas dia sudah tidak bekerja selama tiga tahun.

“Saya ada bekerjasama dengan Soccer Ace FC tetapi sampai bila pun, saya tidak nampak laluan itu sebagai kerja yang hakiki. Sebagai ketua keluarga, saya terdesak dan saya sudah cuba macam-macam. Saya suarakan di negeri Perak mengenai hasrat saya menjadi jurulatih. Begitu juga di Selangor dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

sumber : BH

“Saya bukan berdiam diri tetapi saya tidak nampak diberikan peluang dan ruang. Kenapa tidak berikan saya sedikit ruang untuk menjadi jurulatih tetapi peluang itu tidak sampai. Jadi tidak mengapalah,” katanya.