Timbang tawaran ke Hungary

Kangar: Bekas pemenang Anugerah FIFA Puskas 2016, Mohd Faiz Subri bersedia mempertimbang tawaran sebagai jurulatih teknikal sukan teqball di Hungary pada tahun hadapan.

“Yang itu..(tawaran jurulatih teknikal sukan teqball) masih dalam perbincangan dan saya ingin fokus bola sepak dahulu untuk saingan tahun hadapan kerana masih ingin bermain bola sepak lagi.

“Berkenaan tawaran jurulatih sukan teqball itu juga, kalau ada rezeki..boleh dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Logo Baru Kelab Bola Sepak Northern Lions Football Club (NLFC) di sini.

Katanya, dia hanya mengetahui perkara berkenaan melalui media dan segalanya masih di peringkat awal.

“Buat masa ini ia masih dalam perbincangan lagi kerana saya juga belum berurusan lagi dengan Persatuan Teqball Malaysia, jadi sekarang ini saya masih lagi menunggu keputusan mereka.

“Namun begitu, jika dapat tawaran mungkin saya akan pertimbangkan dahulu sama ada mahu pergi atau tidak,” katanya.

Mohd Faiz berkata, komitmennya pada waktu ini adalah untuk menghidupkan semula karier bola sepaknya bersama NLFC yang terhenti disebabkan pandemik Covid-19 dan segala keputusan mengenai tawaran berkenaan juga akan dimaklumkan kepada pengurusan NLFC nanti.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan bahawa Faiz menunjukkan minat untuk mengisi kekosongan jawatan itu dan bersedia mengubah haluan daripada seorang pemain bola sepak kepada bidang kejurulatihan.

Malah, Faiz dikatakan bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak Persatuan Teqball Hungary.

Sementara itu, NLFC dijangka mengekalkan 30 peratus barisan pemain musim ini termasuk Mohd Faiz Subri bagi menghadapi saingan Liga M3 musim hadapan.

Presiden NLFC, Amran Hamid berkata, para pemain termasuk Mohd Faiz dijangka akan terus menabur bakti pada kelab bola sepak amatur yang berpangkalan di Kangar itu.

“Bagi saingan Liga M3 tahun hadapan, kita akan mengekalkan 30 peratus pemain musim ini untuk beraksi semula bersama NLFC dan ini termasuklah Mohd Faiz yang bertindak selaku pemain berpengalaman dalam kelab ini.

“Selain itu juga, NLFC juga akan terus dibarisi antara 70 hingga 80 peratus pemain tempatan yang rata-ratanya berasal dari Perlis,” katanya.

Amran berkata, meskipun begitu pihaknya masih lagi meneliti barisan kejurulatihan yang akan mengendalikan pasukan ini bagi saingan Liga M3 itu.

Perjalanan skuad NLFC dalam Liga M3 pada musim ini hanya bertahan untuk dua perlawanan sahaja selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Amateur Football League (AFL) membatalkan saingan liga berkenaan berikutan pandemik Covid-19 yang berlaku.

Sumber : HM