Tiket Liga M ‘Online’

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan penjualan tiket bagi aksi awal Liga Malaysia (Liga M) musim depan hanya akan dilaksanakan menerusi pembelian atas talian atau ‘online’.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menjelaskan tiada penjualan tiket perlawanan yang akan diadakan di kaunter stadium bagi jumlah awal kapasiti 10 peratus atau maksimum 4,000 penonton yang dibenarkan kerajaan.

Katanya, langkah itu diambil bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 sekiranya penyokong menyerbu kaunter tiket di stadium.

“Antara SOP yang akan kita kemukakan nanti, kita mewajibkan semua tiket dijual secara online dan tiada lagi beratur beli tiket secara fizikal bagi mengelakkan kejadian tidak baik berlaku.

“Sama seperti yang saya katakan, kelonggaran yang diberikan (kerajaan), kita patut bertanggungjawab, jangan kita ambil mudah,” katanya kepada BH Sukan.

Semalam, Ab Ghani menjelaskan peluang dan kepercayaan yang diberikan kerajaan tidak boleh disia-siakan dengan tindakan tegas akan diambil ke atas pasukan sekiranya terdapat penyokong yang melanggar SOP.

Malah, beliau juga dilaporkan berkata jumlah 10 peratus atau maksimum 4,000 penonton yang dibenarkan hanya akan diberikan kepada penyokong di negeri tuan rumah bagi mengelak berlaku rentas negeri besar-besar daripada penyokong pelawat.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan terdapat cadangan daripada penyokong supaya tiket 10 peratus kapasiti penyokong itu diberi keutamaan kepada pemegang pas bermusim atau ahli kelab berdaftar.

Perkara itu bagaimanapun mungkin berada dibawah bidang kuasa pasukan bertanding untuk menentukan kaedah agihan tiket berkenaan.

Sumber : BH