Tiga pengadil Malaysia mengendalikan perlawanan liga utama Maldives?

KUALA LUMPUR: Seramai tiga pengadil Malaysia dipilih untuk mengendalikan perlawanan liga utama Maldives, Dhiraagu Dhivehi Premier League (DDPL).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengumumkan secara rasmi – Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (pengadil FIFA), Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi (pengadil kebangsaan) dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman (ahli program Akademi Pengadil AFC) akan bertugas selama dua bulan di Maldives.

“Ketiga-tiga pengadil kebangsaan itu telah pun berlepas ke Maldives pada 12 Disember lalu dan hanya akan pulang ke tanah air pada 15 Februari, tahun hadapan.

“Mereka telah menjalani ujian calitan pengesanan COVID-19 sebelum berlepas ke Maldives dan akan menjalani tempoh kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebaik mereka pulang dari Maldives nanti,” menurut kenyataan tersebut.

FAM menjelaskan prestasi ketiga-tiga pengadil sepanjang saingan liga di Maldives itu akan dipantau oleh Unit Pengadil FAM, bagi memastikan kualiti kepengadilan mereka sentiasa pada tahap terbaik.

Ia turut menyebut bahawa undangan daripada Persatuan Bolasepak Maldives ini sebahagian usaha kerjasama FAM bersama persatuan bola sepak negara lain bagi memberi pengalaman antarabangsa kepada pengadil tempatan terutamanya selepas pengurangan jumlah perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

“Ini juga susulan pembatalan Piala Malaysia musim ini, selain sebagai persiapan menjelang musim baharu 2021. FAM turut menghantar pengadil kita bertugas ke Vietnam, Jepun, Bangladesh dan Timor-Leste pada sepanjang 2019,” menurut kenyataan itu.

Liga DDPL, kelolaan Persatuan Bola Sepak Maldives disertai lapan pasukan.

Sumber: BH