Tidak Rela Berputih Mata

PENDAHULU Liga Perdana, Terengganu FC II (TFC II), tidak rela berputih mata buat kali kedua berturut-turut apabila berdepan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.

Jumaat lalu, skuad bimbingan Roshadi Wahab dan pembantunya, Sapian Wahid dikejutkan dengan jaringan minit terakhir Negeri Sembilan pada aksi kelima sekali gus menyaksikan rekod tanpa kalah lebur selepas tumpas 0-1.

Pemain sayap kanan skuad The Turtles itu, Mohammad Ridzuan Mohd Razali atau lebih mesra dipanggil Mamat berkata, mereka tiada pilihan lain kecuali wajib menang bagi memastikan terus mendahului carta liga.

“Mana-mana pasukan yang beraksi di laman sendiri kini tidak mempunyai kelebihan kerana perlawanan tanpa penonton bagi mengekang wabak pandemik Covid-19, begitu juga dengan pasukan kami.

“Tapi jujur kami tidak mahu berputih mata buat kali kedua berturut-turut, sebaliknya kemenangan menjadi agenda penting untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga.

“Justeru jika disenaraikan dalam kesebelasan utama, tugas saya sudah pasti mahu melakukan umpanan yang berkualiti kepada barisan peny3rang bagi memastikan tiga mata berjaya dikutip,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Anak jati Kampung Jak Ajil, Hulu Terengganu yang pernah dipanggil menjalani kem latihan skuad bawah 23 tahun kebangsaan juga mengharapkan jentera serangan skuadnya yang diketuai dua tonggak import, Bruno Suzuki dan Jordan Mintah selain pemain muda, Izzan Syahmi Mustapa agar lebih bijak menghidu peluang di depan gol.

“Selain itu saya mengajak rakan sepasukan beraksi hingga tiupan wisel penamat pengadil bagi mengelak situasi sama berlaku ketika melepaskan gol pada minit terakhir kepada Negeri Sembilan, Jumaat lalu.

“Tanpa tonggak pertahanan import, Argzim Redzovic yang beraksi bersama skuad Terengganu FC (TFC) bukan alasan buat kami tidak bersemangat, sebaliknya mahu buktikan kami juga mampu beraksi dengan baik,” katanya.

TFC II di tangga teratas carta Liga Perdana mengutip 12 mata selepas lima perlawanan manakala JDT II di tempat keenam dengan mengumpul lapan mata.