Tidak Putus Asa Dan Kekal Tenang Walaupun Kena ‘GAME’

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk K.Rajagobal kekal tenang meskipun hasratnya untuk mengendalikan pasukan Liga Super India, Chennayyin FC tidak kesampaian setelah pasukan itu melantik jurulatih lain.

Rajagobal yang mencari pasukan baru setelah PKNS FC yang dibimbingnya selama dua musim pada 2018 dan 2019 bertukar status kepada ‘feeder team’, memberitahu telah ada perbincangan bersama Chennayyin FC dan beliau sepatutnya ke India untuk perbincangan lanjut.

“Malah, pegawai-pegawai kelab itu juga mengetahui tentang kedatangan saya. Namun, setelah jurulatih Chennayyin FC (John Gregory) meletakkan jawatan, pihak pengurusan kelab itu telah melantik jurulatlih baru, Owen Coyle. Situasi itu menyebabkan saya terpaksa membatalkan hasrat untuk ke sana. Mungkin tiada rezeki saya melatih kelab itu,” katanya dipetik dari Sinar Harian Online.

Justeru itu, Rajagobal yang membawa Malaysia B-23 memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan kemudiannya membimbing pasukan senior menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 sedang mencari pasukan lain namun tidak berputus asa untuk mencuba nasib dengan pasukan dari luar negara, khususnya pasukan dari Asia Tenggara, sama ada ianya pasukan kelab mahupun pasukan kebangsaan.

Bersama PKNS FC, Rajagobal membawa pasukan itu mencatat penamat terbaik dalam Liga Super dengan menduduki tangga ketiga pada 2018 namun gagal mengulanginya pada 2019 apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kesembilan.

Antara pasukan lain pernah dibimbingnya di dalam Liga Malaysia adalah Selangor, Kelantan dan Sarawak.