Tiada Perkataan Yang Boleh Diungkapkan Selain Ucapan Terima Kasih

KUALA LUMPUR: Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah sebak melihat apa yang disumbangkan pemainnya selepas The Red Warriors (TRW) membel@sah UKM FC 5-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Apa yang membuatkan jurulatih itu terharu ialah semangat dan prestasi cemerlang yang ditampilkan pemain TRW ketika mereka masih terpalit dengan pelbagai masalah terutama membabitkan isu tunggakan gaji.

Katanya, tiada perkataan yang boleh diungkapkan selain ucapan terima kasih kepada pemain dan persembahan yang ditunjukkan TRW adalah bukti mereka sayangkan masa depan dalam bola sepak.

“Syukur kepada Allah, susah saya nak gambarkan. Kami yang bermasalah, tengok daripada kesungguhan pemain, saya terharu dengan apa yang mereka tampilkan.

“Allah menyebelahi kami kerana kejujuran dan keikhlasan pemain. Kami bermula lambat dalam segala persiapan dan mereka berjuang untuk naikkan nama negeri mereka tanpa memiliki apa-apa imbuhan sebenarnya.

“Saya tak mahu komen lanjut, tapi apa yang saya boleh simpulkan pemain adalah wira sebenar. Mereka hadir ke sini langsung tidak menunjukkan mereka hadapi masalah seperti mana semua mengetahui dan mencurahkan segala-galanya dalam padang.

“Sebelum sampai ke sini, matlamat saya dan semua pemain untuk ekspl0itasi diri ke masa depan, itu lebih mustahak. Kalau kita fikirkan masalah yang dihadapi ketika ini, saya rasa ramai yang akan tarik diri dari pasukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin menganggap Kelantan berhak membawa pulang tiga mata berdasarkan persembahan yang ditampilkan mereka.

“Kesungguhan mereka mengatasi pemain saya. Apa yang saya lihat kesilapan mudah (UKM) dan dominasi di bahagian tengah milik Kelantan punca utama kelebihan yang ada pada mereka.

“Pada saya ini perlawanan bonus dan saya sudah pesan kepada pemain untuk kutip mata, tapi kalau sudah usaha kita gagal, saya tak boleh menangisi kekalahan hari ini sebab saya ada perlawanan lagi,” katanya.