Thomas Trucha bangga dengan pencapaian cemerlang Penang FC

KETUA jurulatih Penang FC, Thomas Trucha melahirkan rasa bangga dengan aksi cemerlang yang dipamerkan skuad kendaliannya ketika menentang Terengganu FC (TFC) pada perlawanan akhir Liga Super 2021 malam semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya itu me­nyaksikan skuad Harimau Kumbang terikat 2-2 dengan pasukan kendalian Nafuzi Zain, sekali gus meletakkan pasukan tuan rumah di tempat ketiga musim ini.

Beliau yang mendapat jolokan ‘Jurgen Klopp’ mengakui amat gembira dengan penca­paian yang ditonjolkan anak-anak buahnya sepanjang perlawanan itu, biarpun beraksi dengan 10 orang pemain.

“Gembira dan bangga dengan corak persembahan yang dipamerkan mereka (pemain) pada perlawanan tadi (semalam). Menduduki tempat ketiga pun sudah memadai untuk kami.

“Mereka mempamerkan kekuatan dan semangat sepanjang perlawanan berlangsung. Ini merupakan rekod pencapaian terbaik untuk sukan bola sepak negeri dan kelab baharu yang ditubuhkan musim ini.

“Saya akui, ada kalanya pemain berasa tidak selesa di­sebabkan tekanan yang saya berikan, tetapi mereka tetap kelihatan gembira dengan perlawanan tersebut,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Nafuzi pula menyatakan kekecewaan dengan keputusan yang diperoleh, namun tetap berpuas hati dengan corak persembahan pemainnya sepanjang musim ini.

“Impian pemain adalah beri yang terbaik dan saya rasakan kami telah melepaskan peluang terbesar.

“Banyak peluang ketika di awal perlawanan apabila Penang FC hanya beraksi dengan 10 pemain. Bukan Penang FC yang tertekan sebaliknya kami pula yang tertekan.

“Banyak peluang boleh dipelajari daripada perlawanan itu termasuk persembahan daripada pemain muda yang ada dan saya sendiri sebagai seorang jurulatih muda,” ujarnya.

Sumber:HM

Akui Nafuzi lagi, skuad Pe­nang FC telah menggunakan ke­lebihan yang mereka peroleh dan ternyata­ kemenangan telah ber­pihak kepada­ pasukan tuan rumah.