Thierry Chantha Bin ‘u-turn’

Pemain tengah skuad kebangsaan Kemboja, Thierry Chantha Bin membuat ‘u-turn’ dengan kembali dalam saingan Liga Malaysia bersama Perak.

Pemain berusia 28 tahun itu memaklumkan ketibaannya bersama skuad The Bos Gaurus menerusi laman sosialnya, tengah hari tadi.

“Terima kasih Perak FA kerana memberikan peluang menyertai keluarga ini dan kembali ke Malaysia. Saya tidak sabar untuk bermula (berlatih) dan bekerja bersama-sama.” ucapnya selepas menandatangani kontrak bersama Perak FA. 

Chantha Bin mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada musim 2018. Ketika itu, dia bermain di bawah bimbingan Irfan Bakti bersama Terengganu Football Club (TFC). 

Dia memainkan peranan penting buat skuad ‘Black and White’ selaku ‘defensive midfielder’ dan banyak membantu melindungi barisan pertahanan. Kehadirannya juga berjaya membantu TFC mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2018.

Namun, setelah dua musim, pemain yang dilahirkan di Perancis ini terpaksa berpisah dengan TFC kerana tidak dilanjutkan kontraknya. Dan Chantha Bin dilaporkan menandatangani bersama kelab berpangkalan di Thailand, Sukhothai FC pada disember lalu. 

Bagaimanapun, menurut satu ciapan di twitter oleh akaun @Thaifootballs, diberitakan majikannya di Thailand itu membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya dan perkara itu membolehkannya disambar segera oleh Perak untuk mengisi slot pemain import kategori ASEAN.

Dalam makluman yang sama oleh di akaun Instagram milik Chantha Bin, Perak juga dilihat memuktamadkan kontrak bersama pemain Australia, Antony Golec, pemain pertahanan tengah berusia 29 tahun yang merupakan bekas pemain saingan Liga Indonesia, Badak Lampung FC. Antony mengisi slot pemain import kategori asia bagi skuad bimbingan Mehmed Durakovic.