TFC waspada jerat PJ City

KUALA TERENGGANU: Skuad Terengganu FC (TFC) sudah bersedia dari segi fizikal dan mental walaupun lebih lima bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif akibat pandemik COVID-19.

Demikian reaksi pertahanan Terengganu FC (TFC), Ariff Fadzilah Abu Bakar menjelang aksi Liga Super bertemu pasukan PJ City, Sabtu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bekas pertahanan kiri kebangsaan itu bagaimanapun tidak mahu mengambil mudah serta terlalu yakin, sebaliknya tetap berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan anak buah K Devan itu.

Ariff, 24 yang pernah dilamar pasukan The Phoenix itu awal musim ini turut mengingatkan rakan sepasukannya perlu bekerja lebih keras andai mahu mengutip tiga mata pada aksi itu kerana lawan juga pasti tidak mahu berputih mata di laman sendiri.

“Pasukan kami sudah bersedia sepenuhnya dengan persediaan rapi daripada segi fizikal dan mental serta taktikal yang dikendalikan jurulatih diketuai Nafuzi Zain.

“Jadi, besar harapan kami untuk melakar kemenangan selepas lama berehat sekali gus memperbaiki kedudukan dalam saingan liga apatah lagi saingan hanya dilangsungkan secara satu pusingan,” katanya.

Skuad TFC kini menghuni kedudukan kelapan liga dengan mengutip empat mata selepas mencatat satu kemenangan menumpaskan Kedah 4-3, terikat 3-3 dengan Selangor dan tumpas 1-3 kepada Perak pada aksi pertama.