TFC II sekat kemaraan The Cats

Pasir Gudang: Hasrat Kuching City FC mengesahkan slot ke saingan Piala Malaysia tertangguh selepas tewas 0-2 kepada Terengganu FC II (TFC II) pada aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), hari ini.

Kekalahan itu menyebabkan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim terpaksa melakar kemenangan pada baki dua perlawanan untuk memburu slot ke pentas piala berprestij itu.

Malah, kemaraan mereka turut bergantung kepada keputusan PDRM FC, Kelantan FC dan Kelantan United.

Pada pertembungan itu, peluang terbaik skuad The Cats untuk memecah kebuntuan jaringan hadir pada minit ke-29 namun bola sepakan percuma Adam Shireen Tambi dari jarak 25 meter sekadar sipi ke gawang gol sebelah kiri dan dibiarkan penjaga gol, Syed Nasruihaq Syed Bidin.

Pasukan pelawat yang mendambakan kemenangan melakukan percubaan pada minit ke-36 namun bola rembatan Dechi Marcel di luar kotak penalti hanya sipi di penjuru kanan gawang.

Bersambung babak kedua, kesilapan benteng tuan rumah, Jimmy Raymond yang tertanduk bola ke belakang pada minit ke-70 memerangkap penjaga gol, Mohd Iqbal Suhimi yang gagal menyelamat bola yang menerjah masuk ke gawang menyaksikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali mendahului 1-0.

Pasukan pelawat menambah derita skuad The Cats pada minit ke-84 selepas pemain gantian, Nur Azfar Fikri Azhar mengambil kesempatan daripada kesilapan Mohd Iqbal yang gagal menangkap bola kemas dan pantas merembat bola menerjah jaring.
-Harian Metro